Riadah Keluarga JIM

KUANTAN, 10 Jan - Ahli-ahli JIM Kuantan bertemu lagi dalam riadah keluarga di Taman Bandar pada pagi hari Ahad, 10 Januari 2010.  Pertemuan dalam suasana ukhuwwah melibatkan para ibu bapa, anak-anak kecil dan remaja serta warga belia di sekitar Kuantan. 

Program ini diserikan dengan aktiviti riadah dan jamuan sarapan pagi secara ‘pot luck’.  YDP JIM Kuantan, Tn Hj MOhd Husni Abd Shukor mengalu-alukan kedatangan semua ahli dan keluarga JIM pada pagi itu.  Acara diteruskan dengan permainan anak-anak Tunas Islah.  Terima kasih kepada AJK Tunas Islah yang telah menyediakan pelbagai permainan dan hadiah buat anak-anak kita.

Kudos kepada AJK Remaja yang telah mengadakan Eksplorace khas buat Remaja! Eksplorace Remaja telah bermula tepat jam 8.30 pagi! Terima kasih kepada adik-adik fasilitator yang sudi hadir membantu dan begitu sporting dengan para remaja kita.

Istimewa kali ini, terdapat perkongsian pengalaman saudara baru, Ita yang baru 6 bulan mengucapkan syahadah.
Walaupun ringkas, apa yang dikongsi beliau amat menyentuh hati mereka yang mendengar.  Bagaimana beliau cuba memenangi hati ayah dan ibu agar dapat menerima pendiriannya ingin memeluk agama Islam.  Hidayah yang diberi Allah tentunya nikmat yang paling berharga dalam hidup kita.  Marilah kita sentiasa berusaha memperbaiki diri kita dan sentiasa mengajak rakan-rakan kita supaya mengamalkan Islam dalam ertikata yang sebenar.

Program santai ini berakhir pada jam 11.30 pagi.  Insya Allah, nantikan program riadah yang akan dijalankan secara berkala ini!

Ayat al-Quran, doa tangani kerenah anak

Oleh : Pn Rosnah Ahmad 

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak.

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

Di sini, saya ingin berkongsi doa yang biasa amalkan dalam menangani kerenah anak sendiri dan anak jagaan di taska dan tadika. Ia adalah kumpulan doa yang banyak saya petik hasil daripada pembacaan selama ini, terutama daripada Nasiyah Abdul Razak, pengasas Rumah Qiraati Nurhidayah, Taman Melawati Selangor.

Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19, surah as-Syura bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Sebaiknya dibaca selepas Subuh iaitu dibaca pada pada air pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Begitu juga, Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik, elok amalkan ayat 38, Surah Ali-Imran iaitu doa Nabi Zakaria bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan ketika anak baru lelap kerap saya amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

Selepas solat lima waktu, saya mengamalkan doa daripada ayat 74, Surah al-Furqan bermaksud: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”

Ayat 40, Surah Ibrahim bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”

Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak. Doa itu senjata mukmin.

Disediakan oleh Rosnah Ahmad, Pengusaha Tadika dan Taska Islam dan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pahang.

Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak

Oleh Rosnah Ahmad

SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan.

Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.

 

Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan. Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang diungkap dalamnya. Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia.

Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhakamungkin biasa bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.

Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhakaadalah dengan bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka.

Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang.

Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita.

 

 

Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya.

Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)

Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.

Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.

Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali watak Abuyang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru.

Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus.

Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik perhatian anak-anak.

Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.

PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak.

Pendekatan mendidik lebih sesuai atasi masalah remaja

Oleh Siti Aishah Mahamad

PEMBABITAN remaja melakukan perkara menyalahi agama, termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan hingga melanggar batas hukum dan norma masyarakat menjadi kebimbangan hari ini.

Mencari siapa yang salah atau menuding jari bukanlah tindakan bijak, sebaliknya semua pihak perlu rasa terpanggil untuk mencegah perkara bercanggah nilai Islam. Tugas menegak yang hak dan benar, mencegah yang mungkar adalah tanggungjawab setiap anggota masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia kepada jalan Allah serta beramal salih, seraya berkata, “Aku daripada kalangan orang Islam.” – ( Surah al-Fussilat, ayat 33)

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu ,hendaklah cegah dengan kata-kata dan jika tidak berdaya, cegahlah dengan hati dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah-lemah iman.” – (Hadis Sahih Muslim)

Pihak bertanggungjawab memupuk nilai Islam kepada remaja ialah:

  • Ibu bapa dan keluarga kerana mereka paling hampir dengan remaja.Allah berfirman yang bermaksud: “Peliharalah dirimu dan ahli keluarga dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu.” – – (Surah at-Tahrim, ayat 6)Remaja bermasalah dan terbabit dengan salah laku sosial biasanya dibesarkan dalam keluarga kurang mengambil berat amalan agama dan taraf ekonomi rendah. Apakah kita terus menyalahkan remaja sedangkan mereka tidak diberi perhatian dan tunjuk ajar?Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Anak dilahir dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang menentukan sama ada anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” – (Sahih Bukhari)Ibu bapa perlu mengambil berat penghayatan agama anak mereka.Allah berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” – (Surah al-Ankabut, ayat 45)Sekolah harian biasa selalu dikaitkan dengan masalah disiplin yang tinggi. Jika ditanya pelajar yang menghadapi masalah disiplin seperti bergaduh, buli dan mencuri, semua mengatakan mereka tidak pernah solat dan jauh sekali membaca al-Quran.

    Justeru, di samping kelas pengajaran dan pembelajaran wajib di waktu pagi, pihak sekolah bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh merancang kelas tambahan bagi memantapkan solat dan membaca al-Quran. Pihak sekolah juga boleh mengadakan kem motivasi solat, kem ibadat dan sebagainya.

  • Institusi dalam masyarakat seperti masjid atau surau boleh berfungsi dengan luas sebagai pusat pendidikan Islam bagi seluruh lapisan masyarakat. Kita lihat kebanyakan masjid dan surau dikunjungi orang dewasa dan veteran.Selain solat lima waktu, masjid atau surau perlu diimarahkan dengan program pemantapan agama untuk menarik remaja mengikut cita rasa golongan itu seperti penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.Kelab Rukun Tetangga yang dibentuk di kawasan perumahan juga boleh mengenal pasti masalah penduduk dan jiran. Pihak KRT juga perlu mengenal pasti masalah dan buat perancangan aktiviti berbentuk kebajikan atau mencegah kemungkaran.Jika ada masalah remaja melepak lelaki perempuan dan melakukan perbuatan sumbang, adakan tugasan bergilir membuat rondaan. Guna pendekatan mendidik sebelum menghukum atau hukuman yang membina.Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)juga boleh membantu golongan remaja bermasalah ini. NGO boleh melaksanakan atau bekerjasama dengan pihak sekolah, agensi kerajaan atau mana-mana institusi dalam masyarakat setempat.Firman Allah yang bermaksud: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolongan dalam membuat dosa dan mungkar, bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras siksa-Nya.” – (Surah al-Maidah, ayat 2)Penulis ialah Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuantan, Pahang dan Ketua Wanita JIM Pahang. Penulis boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com
  • Bowling Bersama Tunas Islah

     

    Premium Lanes, Kuantan Plaza – 6 ahli Wanita JIM  Pahang bersama-sama ahli keluarga berkumpul untuk satu lagi aktiviti cuti sekolah Tunas Islah.  Ia juga sebagai persediaan awal Karnival Sukan Piala Presiden JIM (KSPPJ) yang bakal berlangsung di Terengganu.

    Hadiah telah disediakan bagi 4 peserta terbaik berupa sebuah buku istimewa iaitu : Buku Dunia Tanpa Suami (2) – Di Sebalik Tembok dan Pagar Berduri hasil nukilan ahli-ahli Wanita JIM iaitu Cik Roha Hassan, Pn Aliza Jaafar dan Cikgu Norlaila Othman.

    Kalau tak dpt hadiah, boleh beli! Buku ini khas ditulis bagi mengingati tahanan-tahanan mangsa akta ISA yg masih belum bebas hingga 6 tahun.

    Mansuhkan ISA. Bebaskan Tahanan ISA. Tutup Kem Kamunting. 

    Terima kasih / jazakumullahu khairan kpd Pn Hanisam, Pn Che Ku Norazlina, Pn Ziayah dan Pn Akhmar.  Sandwich & choc cake yg sedaaaaap sbg refreshment sblm balik….

    all in all, nak main lagi tak lain kali?…

    NAAAKKKK!!

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.