Seminar “Ummah Cinta Syariah”

Assalamu’alaikum wr wb,

Semua pemimpin dan ahli masyarakat adalah dijemput hadir beramai-ramai ke Seminar UMMAH CINTA SYARIAH seperti berikut :-

Tarikh  :  15 Mei 2010
Tempat  : Dewan Besar JAIP
Masa       : 8.30 pagi – 1.00 tgh hari

I. Pembentang Kertas Kerja :  “Pelaksanaan Syariah Islam : Realiti Ummah Hari Ini – Ke Mana Kita?”

DR ZULFAKAR RAMLEE, Pengerusi JK Undang-undang & Pelaksanaan Syariah, JIM Pusat

II.  Forum : “Memartabatkan Syariah – Melakar Perubahan, Mencerna Halatuju”

AHLI PANEL :

USTAZ BADLI SHAH ALAUDDIN, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)
USTAZ HAMDAN YUSI YUSOFF, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)
DR ZULFAKAR RAMLEE, Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Moderator :  Ustaz Alwi Muda

Sijil disediakan bagi yang mendaftar awal.  Masuk adalah PERCUMA

Posted in Uncategorized. Leave a Comment »

Seminar Kepimpinan Wanita JIM

GOMBAK, Sabtu, 3 April – AJK Wanita JIM Negeri Pahang telah dijemput untuk menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita Siri 1 Wanita JIM Pusat di UIA, baru-baru ini.  Kehadiran seramai 40 orang termasuk JK Pusat Wanita JIM, wakil-wakil Wanita JIM Negeri termasuk Sarawak, dan juga peserta undangan dari WIRDA dan Haluanita.   Program ini dilaksanakan susulan sanggar kerja AJK Wanita JIM Pusat, yang mana bertujuan meningkatkan kefahaman tentang isu-isu wanita di kalangan pimpinan Wanita JIM sendiri. 

Sesi pertama adalah pembentangan ringkas oleh Dr. Zeenath Kautsar mengenai The Convention on the Elimination of Discrimination and all Forms of Violence Against Women (CEDAW) dan analisa kritikal terhadap CEDAW.  CEDAW yang banyak mengambil pendekatan LIBERAL telah meletakkan terlalu banyak kebebasan kepada manusia tanpa mengambilkira panduan agama, nilai-nilai kekeluargaan dan had sosial.

Apa yang menarik, Dr Zeenath menekankan tentang CEDAW sebagai alat penjajahan pemikiran cara hidup yang mampu menggugat aqidah, nilai hidup dan pegangan umat Islam pada hari ini.  Penjajahan kuasa-kuasa barat telah menjadikan umat Islam terbahagi kepada Muslim Nation-State di mana penjajah meninggalkan negara Islam hanya apabila mereka yakin bahawa pemimpin yang diberikan kuasa memerintah akan terus mengekalkan undang-undang barat serta tiada kekuatan mahupun kemahuan untuk melaksanakan perundangan Islam.

Wakil Wanita JIM Pahang bergambar bersama Dr Zeenath. Turut kelihatan, Ketua Wanita JIM Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim

Sesi kedua disampaikan oleh Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat, Hjh Roselainy Abdul Rahman yang pernah beberapa kali mewakili Wanita JIM ke Commission Status of Women di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Beliau menerangkan secara ringkas betapa perlunya golongan wanita yang mempunyai fikrah Islam mengambil peranan dalam penggubalan dan perlaksanaan Dasar Wanita Negara.  Dalam hal ini, semua golongan yang bersama-sama memperjuangkan hak-hak asasi wanita mengumpulkan kekuatan untuk menguatkan lagi suara wanita Islam samada di peringkat tanahair mahupun di peringkat antarabangsa.

Sesi petang disambung dengan Mesyuarat JK Pusat Wanita JIM dengan Ketua-ketua Wanita JIM Negeri. Mesyuarat bertujuan untuk berkongsi perkembangan terkini aktivisme dan rancangan di negeri masing-masing.

(disesuaikan dari Laporan Setiausaha Kehormat Wanita JIM Pusat, Pn Anfaal Saari)

Katibah : Da’wah Fardhiah

Kuantan, 26 Mac 2010 – Jawatankuasa Tarbiyyah Wanita JIM Negeri di bawah Ustazah Khadijah Abdullah telah mengadakan katibah untuk akhawat Wanita JIM bertempat di IM5 baru-baru ini. Tajuk pengisian utama yang dibentang adalah ‘Da’wah Fardhiah’ oleh Pak Ngah Suhaimi. 

Da’wah fardhiah adalah satu kewajipan kepada da’i ilalLah dalam melakukan amal maaruf nahi mungkar.  Dengan da’wah fardhiah, hubungan baik dibina agar dapat meruntuhkan kejahilan dan membina unsur-unsur kebaikan secara berperingkat dan berterusan.  Kejayaan dakwah bergantung kepada keberkesanan da’wah fardhiah dan keberkesanannya banyak bergantung kepada niat ikhlas kerana Allah dan kesungguhan para da’ie.

Peserta khusyuk mendengar kuliah dari Pak Ngah

Setelah solat subuh berjamaah, para peserta dihidangkan dengan slot kuliah subuh, Istiqamah oleh Timbalan Ketua Wanita JIM daerah Kuantan, Pn Nor Akhmar Mohamad.  Antara pesanan beliau untuk beristiqamah adalah selalu merujuk kepada ayat-ayat suci al-Quran untuk mengingatkan tentang tuntutan da’wah, berdamping dengan orang yang ikhlas dan beramal serta bersabar dalam menghadapi ujian di jalan da’wah.

Antara peserta yang hadir

Bowling Cuti Sekolah

Kuantan, 18 Mac – Premium Lanes dikunjungi lagi oleh keluarga Wanita JIM bersama-sama anak-anak remaja dan Tunas Islah sempena minggu cuti persekolahan.  Kali ini, program bowling mendapat sambutan belia di mana 2 pasukan campuran (belia+mak cik2) bertanding bagi merebut kedudukan juara!🙂

Bagi kategori remaja, terdapat dua pasukan yang memasuki permainan dan kategori tunas islah mempunyai 1 team sahaja.  Mungkin ramai ahli keluarga telah membuat perancangan masing-masing. Insya Allah, kita mengharapkan persediaan lebih awal bagi menarik lebih ramai penyertaan dari semua peringkat umur.

Antara ahli dan rakan JIM yang hadir

Salam perkenalan tanda ukhuwwah untuk rakan baru kita, Rabiatul Adawiyah dan juga Adnin. :)  Lepas ni, boleh kita bermain se-round lagi! 

Tahniah kepada Che Na dan team Tunas Islah yang menganjurkan aktiviti yang mengumpulkan bukan saja ahli golongan kanak-kanak, malah yang senior pun boleh join juga…semoga kemesraan yang terjalin mempereratkan ukhuwwah demi kelangsungan kerja-kerja da’wah kita yang masih panjang! Ameen.

Posted in 1. Leave a Comment »

Rundingan Umum Laporan SUHAKAM 2007 & 2008

Kuantan, 14 Mac – JIM Pahang telah dijemput ke Majlis Rundingan Umum Kebangsaan mengenai Laporan Tahunan SUHAKAM pada 14 Mac yang lepas di Hotel Grand Continental, Kuantan.  Majlis ini yang dianjurkan oleh Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) telah dihadiri oleh Presidennya, Datuk Marimuthu Nadison.  JIM diwakili oleh En Mohd Azam Salleh, Setiausaha JIM Negeri Pahang dan Pn Nur Hafizah Hassan, Ketua Wanita JIM Negeri Pahang.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam bagi mendapat maklumbalas ahli panel dan para peserta mengenai laporan-laporan Suhakam yang telah dikeluarkan bagi tahun 2007 dan 2008 tersebut.

Sidang pembentangan kertas kerja dipengerusikan oleh Pn Nora Murat, dari Amnesty International Malaysia.  Antara ahli panel yang membentangkan kertas kerja pada kali ini ialah Pn Haslinah Yaacob (AWAM), Dr Shamrahayu Ab Aziz (UIA), En Jerald Joseph (KOMAS), En Andrew Khoo (Bar Council) dan En Faisal Mustaffa (REFSA).

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa masyarakat Malaysia perlu mempunyai kefahaman mengenai hak mereka sebagai rakyat Malaysia; agar kita mampu untuk bangun mempertahankannya.  Kerajaan yang memimpin negara pula seharusnya berusaha bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemerintah dan bersedia pula menerima teguran agar mereka dapat bekerja dengan lebih baik untuk rakyat.

Kemajuan sebenar bukan sahaja dinilai dari segi material dan pembangunan infrastruktur, malah kemajuan perlu dari segi perlaksanaan hak-hak asasi rakyat, ketinggian nilai dan etika hidup, keterbukaan rakyat dan pemimpin dalam menangani isu-isu semasa, keadilan dan ketelusan dalam proses pemilihan kerajaan dan kehakiman, kesensitifan terhadap isu-isu golongan minoriti, serta kebersamaan dalam memperjuangkan isu-isu moral yang semakin meruncing.

Bagi isu wanita, beberapa petunjuk statistik telah dibentangkan untuk membandingkan kemajuan wanita di beberapa negara termasuklah kadar wanita yang bekerja di luar rumah.  Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita memerlukan kayu ukur dari kaca mata Islam.  Jika jumlah wanita yang tidak keluar bekerja dijadikan ukuran, ia tidak seharusnya melambangkan wanita itu mundur, kerana ia melibatkan faktor pilihan individu.  Berapa ramai wanita di negara maju yang memilih untuk tidak bekerja dan gembira menjadi ‘Stay at Home Mothers’ (SAHM).  Malah, kurangnya wanita yang perlu bekerja, mungkin melambangkan keadaan ekonomi yang berjaya di mana pendapatan suami bekerja sudah cukup untuk menampung kehidupan keluarga.  Mungkin kerana kos hidup negara kita sudah semakin tinggi, atau gaji dibayar terlalu rendah, maka wanita kita sebenarnya terpaksa keluar bekerja.

Selesai forum, kami menyedari bahawa dengan membelakangkan perbezaan yang sedikit antara kita, sebenarnya kita mampu menyelesaikan masalah yang lebih besar dan serius yang sedikit demi sedikit sedang menghakis sendi dan kekuatan negara tercinta kita ini.  Masalah seperti ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi perlu diambil berat oleh semua pihak tidak kira bangsa dan agama.

Kita juga perlu lebih banyak menambah ilmu supaya perbincangan yang kita lakukan lebih bersifat fakta dari emosi.  Oleh kerana forum tersebut julung-julung kali diadakan di Pantai Timur, JIM Pahang mengalu-alukan sebarang perbincangan seperti ini terus diadakan agar dapat sama-sama kita mencari penyelesaian dan meningkatkan kesedaran tentang hak-hak asasi masyarakat di Pahang khususnya.  Mana-mana pemerintah mungkin tidak mempunyai kepentingan untuk meninggikan kesedaran hak-hak asasi di kalangan rakyatnya, maka NGO, para akademik, institusi-institusi serta individu-individu yang berupaya mesti berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab ini.

Isu Pembuangan dan Pembunuhan Bayi Perlu Pendekatan Holistik

Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
 
12 Februari 2010
 
ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!
 
 
JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).
 
Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
 
Tahun                         2006    2007        2008     2009 (sehingga Mei)
Jumlah kes                  53          76            102                 33

 
Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.
 
Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?
 
JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.
 
JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua – dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.
 
JIM menuntut  semua pihak  memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini.
 
Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan  kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.
 
Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat  kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran  yang menghakis nilai murni dalam komuniti.
 
Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan  yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
 
Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .
 
JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :
 
a.  Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir.
 
b.  Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.
 
c.   Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.
 
d.   Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah  menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja!
Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam. 
 
JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!
 
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
0123243134

Posted in Media. 1 Comment »

Perjumpaan GIGS Belia ke-2

Kuantan, 7 Februari – Alhamdulillah, Jawatankuasa Belia JIM Pahang telah berjaya menganjurkan perjumpaan Graduated Ikhwah & Akhawat Gathering (GIGS) yang kedua, di Pejabat JIM Pahang baru-baru ini.  Pertemuan ini dipengerusikan oleh akhi Faizal Hafiz Md Zeni.  Ianya dimulakan dengan ucapan perasmian dari YDP JIM Pahang, iaitu Tn Hj Zulkifli Mohamed.  Beliau mengingatkan golongan belia agar bersedia menjadi pemuda yang mewarisi perjuangan. Satu persatu berita kematian ikhwah senior menyedarkan bahawa belia yang ada kini perlu menggalas amanah utk meneruskan risalah perjuangan ini.

Program diteruskan dengan tazkirah oleh Ustaz Zulkifli mengenai faktor yg membantu kejayaan dakwah antaranya ialah ukhuwwah, yakni ikatan persaudaraan sesama kita.  Kekuatan sesuatu jamaah diasaskan di atas utuhnya hubungan antara sesama ahlinya.  Point kedua ustaz ialah mulakan dakwah dari sekarang.  Jangan menangguh atas alasan belum cukup kaya, masih kurang ilmu, bila tidak sibuk dengan kerja, tunggu sudah stabil dan berkeluarga atau macam-macam lagi. Lakukanlah dan beri apa yg termampu.
Beliau menyentuh dua kisah dlm alQuran tentang org kaya yang binasa iaitu Qarun dan Tha’labah…Kedua-duanya bermula dari golongan yang miskin kemudian memohon kepada Allah supaya dikurniakan kekayaan. Tetapi setelah kaya, menjadi seorang yg lupa kpd tanggungjawab dan bersifat angkuh.  Ustaz menyarankan kita agar membaca buku “Belitan iblis” (terjemahan dari arab) utk mengenali iblis dengan lebih mendalam dan mengetahui punca2 kenapa manusia boleh menyembah patung dll. 

Ustaz juga menekankan agar kita terus meningkatkan ilmu sertai cuba kuasai bahasa asing, terutamanya bahasa arab.  Ini kerana bahasa Arab merupakan bahasa AlQuran.

Point yang ke-4 adalah tentang pentingnya tarbiyah. Situasi yang paling beruntung bagi seorang anak adalah sekiranya tarbiyah bermula sejak dalam kandungan.  Suasana yg baik di kalangan ikhwah akhawat apabila membawa anak2 & anak2 kecil dlm setiap prog tarbiyah krn anak2 ini mempunyai potensi utk memahami.

Faktor terakhir adalah agar kita terus beristiqamah dan berteguh hati dalam kerja-kerja Islam.

Acara diteruskan dengan forum yang dipengerusikan oleh Abang Irfan, di mana ahli-ahli panelnya terdiri dari En Azam Mohd Salleh, Setiausaha JIM Negeri Pahang dan juga, yang dikasihi, Pn Hjh Siti Aishah Mahamad.

Forum kali ini membincangkan tentang bagaimana mengatasi halangan dan cabaran dalam da’wah terutamanya cabaran berkeluarga dan berkerjaya.

Rupanya penghalang utama atau penentu seseorang itu untuk komited dalam perjuangan adalah dirinya sendiri.  Apabila hati kita menginginkan sesuatu, insya Allah, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, menghadiri usrah.  Jika betul-betul hendak pergi usrah, walau tiada kenderaan, keletihan, kerja rumah yang tidak pernah selesai, ianya tidak akan ‘menjadi hal’.  Akh yang iltizam akan cuba mencari jalan keluar bagaimana dia hendak mengatasi masalah yang dihadapi termasuklah meminta tolong dari sahabat atau berusaha mengatur masa dan kerjanya dengan lebih cekap.  Kesungguhan, keikhlasan dan pengorbanan yang besar pastinya perlu dalam jalan menuju ke syurgaNya.

Kelihatan ahli-ahli panel forum GIGS

Kita seharusnya menyedari hakikat bahawa syaitan tidak pernah jemu dan berputus asa dalam berdakyah.  Maka, apatah lagi kita, lebih-lebih lagi lah mesti bekerja keras melawan arus jahiliyah dan menegakkan Islam di tempatnya.

Ramai yang mengatakan keluarga boleh menjadi halangan atau alasan dalam bekerja demi Islam.  Sebenarnya, ada banyak aspek kekeluargaan yang positif malah boleh memangkin dakwah.  Pertamanya ialah pasangan boleh mengingatkan kita sekiranya terlalai.  Jika keluarga tidak memberikan suasana yang Islami, maka hanyutlah bahtera kehidupan ini tanpa nakhodanya. 

Keduanya, melalui tarbiyyah jamaah, pasangan dapat dididik secara langsung dan berkesan berbanding jika kita sendiri yang menegur, mungkin masing-masing sibuk atau terasa sensitif.  Suami ‘menzalimi’ isteri jika menghalang isterinya dari menuntut ilmu dan memperbaiki diri.  Usrah dan tarbiyyah boleh meringankan tanggungjawab suami dalam mendidik isterinya, kerana secara asalnya, suamilah yang perlu mendidik isteri dalam ketaatan kepada Allah.  Selalulah libatkan anak-anak bersama dan tunjukkan kasih sayang secara fizikal dengan cara sentiasa berkomunikasi, mencium dan memeluk anak-anak. 

Pn Aishah menekankan prinsip syura dan berdoa kepada Allah swt,  memohon agar Allah memberi petunjuk jika kita menghadapi masalah.  Apabila syura telah dilakukan, keputusan telah diambil, kita memohon kepada Allah agar dibantu dalam meneruskan keputusan dan tindakan yang kita fikirkan sebagai terbaik. Insya Allah, Allah akan memberi jalan keluar kepada kesulitan tersebut.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.