Seminar Kepimpinan Wanita JIM

GOMBAK, Sabtu, 3 April – AJK Wanita JIM Negeri Pahang telah dijemput untuk menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita Siri 1 Wanita JIM Pusat di UIA, baru-baru ini.  Kehadiran seramai 40 orang termasuk JK Pusat Wanita JIM, wakil-wakil Wanita JIM Negeri termasuk Sarawak, dan juga peserta undangan dari WIRDA dan Haluanita.   Program ini dilaksanakan susulan sanggar kerja AJK Wanita JIM Pusat, yang mana bertujuan meningkatkan kefahaman tentang isu-isu wanita di kalangan pimpinan Wanita JIM sendiri. 

Sesi pertama adalah pembentangan ringkas oleh Dr. Zeenath Kautsar mengenai The Convention on the Elimination of Discrimination and all Forms of Violence Against Women (CEDAW) dan analisa kritikal terhadap CEDAW.  CEDAW yang banyak mengambil pendekatan LIBERAL telah meletakkan terlalu banyak kebebasan kepada manusia tanpa mengambilkira panduan agama, nilai-nilai kekeluargaan dan had sosial.

Apa yang menarik, Dr Zeenath menekankan tentang CEDAW sebagai alat penjajahan pemikiran cara hidup yang mampu menggugat aqidah, nilai hidup dan pegangan umat Islam pada hari ini.  Penjajahan kuasa-kuasa barat telah menjadikan umat Islam terbahagi kepada Muslim Nation-State di mana penjajah meninggalkan negara Islam hanya apabila mereka yakin bahawa pemimpin yang diberikan kuasa memerintah akan terus mengekalkan undang-undang barat serta tiada kekuatan mahupun kemahuan untuk melaksanakan perundangan Islam.

Wakil Wanita JIM Pahang bergambar bersama Dr Zeenath. Turut kelihatan, Ketua Wanita JIM Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim

Sesi kedua disampaikan oleh Timbalan Ketua Wanita JIM Pusat, Hjh Roselainy Abdul Rahman yang pernah beberapa kali mewakili Wanita JIM ke Commission Status of Women di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. Beliau menerangkan secara ringkas betapa perlunya golongan wanita yang mempunyai fikrah Islam mengambil peranan dalam penggubalan dan perlaksanaan Dasar Wanita Negara.  Dalam hal ini, semua golongan yang bersama-sama memperjuangkan hak-hak asasi wanita mengumpulkan kekuatan untuk menguatkan lagi suara wanita Islam samada di peringkat tanahair mahupun di peringkat antarabangsa.

Sesi petang disambung dengan Mesyuarat JK Pusat Wanita JIM dengan Ketua-ketua Wanita JIM Negeri. Mesyuarat bertujuan untuk berkongsi perkembangan terkini aktivisme dan rancangan di negeri masing-masing.

(disesuaikan dari Laporan Setiausaha Kehormat Wanita JIM Pusat, Pn Anfaal Saari)

Leave a comment