Isu Pembuangan dan Pembunuhan Bayi Perlu Pendekatan Holistik

Kenyataan Media Jamaah Islah Malaysia (JIM)
 
12 Februari 2010
 
ISU PEMBUANGAN DAN PEMBUNUHAN BAYI PERLU PENDEKATAN HOLISTIK!
 
 
JIM ingin menarik perhatian kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 yang melaporkan sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti (532 – 92%) adalah bayi baru lahir, sementara 48 (8%) adalah janin ( Sumber PDRM). Sementara menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan (Rujuk Jadual 1).
 
Jadual 1 : Bilangan Kes Pembuangan Bayi
 
Tahun                         2006    2007        2008     2009 (sehingga Mei)
Jumlah kes                  53          76            102                 33

 
Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, dilaporkan menurut satu kajian di Lembah Klang, seorang bayi dibuang setiap sepuluh hari. Apa yang lebih membimbangkan, fenomena ini tidak lagi hanya berlaku di bandar-bandar besar, malahan semakin kerap dilaporkan di kawasan desa dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.
 
Namun, secara umumnya, masyarakat Malaysia seolah-olah hanya mampu menyatakan rasa kesal, mengecam tindakan zalim tersebut, menuding jari menyalahkan remaja belia yang dikatakan semakin sumbang perlakuan mereka. Adakah kerana bayi-bayi malang tersebut dianggap hasil perzinaan, dikandung tanpa dirancang dan dikehendaki (unplanned and unwanted) oleh ibu mereka, tanpa bapa yang sanggup melindungi lalu kemudiannya dibiarkan atau dibuang untuk menutup aib dan malu , maka kematian mereka tidak harus dibela?
 
JIM ingin menegaskan bahawa setiap bayi berhak disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan yang terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Setiap ibu yang hamil, berhak mendapatkan jagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa. Setiap bayi baru lahir yang ditemui mati terdampar, dikira satu kematian neonatal (bayi berusia tidak lebih empat minggu) yang secara tidak langsung menandakan jagaan kesihatan yang tidak sempurna dan tahap kesihatan yang rendah. Awal Julai lepas, dilaporkan penemuan mayat reput seorang wanita muda di bilik asrama salah sebuah IPT di selatan tanahair, bersama bayi yang dilahirkannya sendirian. Kematian ibu yang melahirkan bayi tanpa bantuan perubatan ini perlu dilihat sebagai satu kematian ibu (maternal mortality) yang sepatutnya boleh dielakkan (avoidable) sekiranya jagaan kesihatan dan perubatan dapat diberikan sebagaimana lazimnya.
 
JIM berpandangan pendekatan yang lebih pragmatik dan serius perlu segera diambil dalam menangani isu pembuangan bayi ini. Ianya tidak boleh hanya dilihat dari sudut pandang gejala sosial dan seksual semata-mata. Pendekatan tersebut mestilah holistik dan menjurus kepada penyelesaian akar umbi masalah, dengan menekankan kedua – dua aspek pencegahan (preventive) dan rawatan (prescriptive) secara serentak.
 
JIM menuntut  semua pihak  memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab dalam usaha mencegah gejala sosial yang sedang berleluasa dan semakin parah hari ini.
 
Ianya mesti bermula pada tahap individu yang harus diperkayakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan  kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya.
 
Usaha mesti dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat  kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkahlaku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran  yang menghakis nilai murni dalam komuniti.
 
Pihak berwajib mestilah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan  yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.
 
Strategi mendidik dan menyeru masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni mesti dilipatgandakan dan menjadi keutamaan di setiap peringkat, dari yang paling atas iaitu pucuk pimpinan negara sehinggalah kepada rakyat jelata .
 
JIM akur, sekalipun langkah pencegahan dijalankan, masih terdapatnya kelompok ahli masyarakat yang tetap akan terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi. Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki, di samping komplikasi lain seperti pembuangan dan pembunuhan bayi, pengguguran janin, penyakit jangkitan kelamin, HIV/AIDS dan keganasan seksual. Dalam konteks ini, pendekatan rawatan ( prescriptive) mestilah diambil bagi menangani isu di atas :
 
a.  Setiap janin dan bayi, sekalipun yang terhasil dari perzinaan mestilah diberikan peluang dan hak untuk hidup. Ini berpandukan kepada sirah Rasulullah SAW, di mana seorang wanita Al-Ghamidiyah mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan selesai tempoh penyusuannya. Jelas betapa Islam mengambil pendekatan melindungi dan membela bayi yang tidak berdosa, selari dengan intipati ajarannya sebagai ` rahmatalil `alamin’ ( rahmat untuk sekelian alam). Langkah praktikal mesti segera diambil untuk mengelakkan ibu yang hamil akibat perzinaan dalam masyarakat hari ini tidak berfikiran panjang lalu mengambil keputusan melulu membuang dan membunuh bayi yang baru lahir.
 
b.  Setiap wanita yang hamil, sama ada yang sudah sah berkahwin ataupun belum, mesti mendapatkan jagaan antenatal di pusat kesihatan yang berhampiran secara berkala untuk memastikan kesejahteraannya dan janin dalam kandungan terpelihara. Wanita yang menyembunyikan kehamilannya (concealed pregnancy) seringkali berhadapan dengan risiko komplikasi seperti cubaan menggugurkan kehamilan, kepucatan, preeklampsia, kelahiran pramatang atau kematian semasa melahirkan. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan tidak seharusnya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran sendirian.
 
c.   Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan sehingga menyebabkan kehamilan mesti dipertanggungjawabkan. Perkembangan kajian saintifik yang membabitkan DNA dan genetik hari ini membolehkan pembuktian terhadap asal usul keturunan manusia dibuat. Satu mekanisme perundangan perlu diusahakan agar pasangan lelaki dalam perzinaan tidak boleh secara sewenang-wenangnya berlepas tangan dari memikul tanggungjawab yang sepatutnya.
 
d.   Pimpinan negara dan agensi kerajaan yang berkenaan mesti mengambil langkah menyediakan tempat perlindungan yang mampu membimbing wanita yang hamil di luar nikah  menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Jagaan antenatal boleh dijalankan dengan baik, kelahiran bayi dikendalikan oleh mereka yang terlatih dan proses pengangkatan bayi melalui saluran yang formal dapat dibuat sekiranya siibu mahu menyerahkan bayinya kepada orang lain. Walaubagaimanapun, pusat perlindungan ini tidak boleh berfungsi sebagai pusat transit ( one-stop centre) yang menjadi tempat persinggahan sementara bagi wanita yang hamil di luar nikah semata-mata untuk melahirkan bayi sahaja!
Semoga cadangan pendekatan rawatan (prescriptive) dapat memberi ruang dan peluang kedua kepada mereka yang telah terlanjur untuk bertaubat, tidak mengulangi perbuat yang sama dan kembali ke pangkal jalan menjalani kehidupan menurut kehendak syariah dengan kerahmatan Islam. 
 
JIM mendesak agar langkah-langkah yang disarankan segera diambil tindakan bagi menangani isu pembuangan bayi hingga ke akar umbi. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah masyarakat jahiliyyah moden yang tiada peri kemanusiaan lagi!
 
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
0123243134

Advertisements
Posted in Media. 1 Comment »

Bicara Ibu Guru – Kenyataan Media

Kenyataan Media sempena Wacana Ibu Guru.

 Pada hari Sabtu 11 Julai 2009 bertempat di  Dewan Seminar,  Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah I, Kuantan, Wanita Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) Negeri Pahang dengan kerjasama Masjid Negeri akan mengadakan satu wacana Bicara Ibu Guru (BIG) dengan tema ‘Ibu dan Guru Penjana Modal Insan’.

Memberikan pendidikan yang berkualiti, menyeluruh dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelektual  kepada anak-anak adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada semua ibubapa.

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibubapalah yang menjadikannya samada yahudi atau nasrani  – Maksud hadis riwayat Muslim.

Anak-anak menerima pendidikan pertama mereka di rumah daripada orang yang paling hampir iaitu ibu mereka. Seterusnya, mereka dididik pula oleh guru-guru di institusi pendidikan seperti  taska, tadika, pusat jagaan, sekolah rendah dan sekolah menengah.

 Bagi ibu-ibu yang berkerjaya, yang terpaksa menghabiskan banyak masa di tempat kerja demi kemajuan kerjaya mereka, sistem sokongan seperti yang disediakan oleh institusi pendidikan ini sangat diperlukan bagi membantu mereka dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak.

 Menyedari cabaran yang dihadapi oleh ibu dan guru pada masa kini, Wanita JIM Negeri  Pahang  tampil menganjurkan wacana ini sebagai satu usaha untuk membantu mereka. Matlamat utama wacana ini ialah untuk memupuk kesedaran mengenai  pentingnya ibu dan guru menguasai ilmu dan kemahiran  terkini yang dapat membantu mereka dalam menjalankan tugas mendidik anak-anak.

 Didiklah anakmu untuk zamannya  – Maksud hadis.

 Kami berharap  panduan-panduan yang diberikan  oleh panel yang terdiri daripada ahli pendidik  dari beberapa institusi pendidikan di Pahang ini, berguna dalam membantu peserta-peserta   menunaikan tanggungjawab  mendidik anak-anak dengan lebih sempurna.

 Wanita JIM Negeri  Pahang  mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh semua ibu dan guru dalam mendidik  anak-anak untuk menjadikan mereka modal insan pada masa hadapan.

 Kami menghargai pengorbanan besar yang dberikan oleh ibu dan guru untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak yang akan menjadi aset kepada negara.

 Kami  komited untuk terus melakukan usaha-usaha seperti ini  pada masa akan datang.

 

Puan Hajjah Siti Aishah binti Mahamad,
Ketua Wanita JIM Negeri Pahang,
KUANTAN.

No. tel. 019 914 2408

Kes Kematian A. Kugan Dalam Tahanan Polis Mesti Disiasat Tanpa Selindung

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
 
29 Januari 2009
 
 
Kes Kematian A. Kugan Dalam Tahanan Polis Mesti Disiasat Tanpa Selindung
 
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melahirkan rasa kesal dengan insiden seorang suspek bernama A. Kugan yang telah meninggal dunia semasa berada dalam tahanan polis pada 20 Januari 2009. Peguam Negara telah mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan mungkin setelah mengambilkira kesan luka yang serius kepada badan mayat A Kugan yang didedahkan oleh keluarga mangsa.
 
JIM memandang serius insiden tersebut kerana ini bukanlah kali pertama tahanan yang ditahan dalam lokap polis di dapati mati ketika dalam tahanan. Sekiranya benar apa yang didakwa iaitu pihak polis sendiri telah bertindak menyeksa tahanan sehingga menyebabkan kematian tahanan, maka JIM melihat ini sebagai satu pelanggaran besar terhadap kepercayaan rakyat kepada institusi keselamatan negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Ia juga merupakan satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun terhadap individu yang disyaki sebagai penjenayah.
 
JIM menyanjung tinggi usaha dan peranan pihak polis dalam membanteras jenayah namun pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang mestilah berpandukan kepada prinsip kedaulatan undang-undang atau rule of law dan keadilan. Selain daripada itu, pihak polis mestilah akur dengan prinsip hak asasi manusia sejagat mahupun apa yang digariskan dalam prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang mengiktiraf bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty).
 
JIM mengetahui bahawa kes seksaan secara fizikal dan mental serta kes kematian ketika dalam jagaan polis telah banyak dilaporkan sebelum ini samada ketika direman atau ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun kes-kes tersebut samada tiada tindakan lanjutan, siasatan masih berterusan atau masih dalam sesi perbicaraan mahkamah. Dewan Rakyat pada tahun 2008 telah dimaklumkan seramai 1,535 orang mati semasa dalam tahanan polis dalam tempoh antara 2003 hingga 2007. Pada masa yang sama, dua Suruhanjaya Diraja berhubung perkara ini telah ditubuhkan sebelum ini dengan pelbagai saranan namun keberkesanan saranannya masih dipersoalkan ramai khususnya berkenaan dengan kegagalan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (Independent Polis Complaints and Misconduct Commission – IPCMC).
 
JIM menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku ke atas mana-mana individu,  bangsa atau agama sekalipun. Oleh yang demikian, JIM tidak melihat ini sebagai isu perkauman dan menyarankan semua pihak untuk berpendirian sama kerana prinsip keadilan merentasi sempadan bangsa, kaum dan agama.
 
Sehubungan itu, JIM sebagai sebuah badan bukan kerajaan Islam yang amat prihatin dalam isu keadilan dan urustadbir yang baik menyarankan kepada Kerajaan untuk:-
 
1.      Mengambil langkah serius mengarahkan dan memastikan siasatan yang menyeluruh, adil dan telus dilakukan berikutan kematian A. Kugan dalam tahanan polis dengan kadar segera tanpa melindungi atau menyembunyikan mana-mana fakta dan pihak, demi menegakkan keadilan. Adalah sewajarnya siasatan tersebut dilakukan oleh sebuah Suruhanjaya Bebas DiRaja yang ditubuhkan oleh Kerajaan.
 
2.      Menyemak dan meneliti saranan yang telah dibuat oleh dua Suruhanjaya Diraja sebelum ini serta melaksanakan saranan-saranan mereka.
 
JIM bersimpati dengan keluarga A Kugan dan seterusnya  menyeru semua pihak untuk bertenang dan bertindak mengikut lunas undang-undang. Keadilan bukan sahaja terlaksana tetapi mesti dilihat dilaksanakan. 
 
 
Hj Zaid Kamaruddin
Presiden

JIM Membantah Serangan Regim Israel Terhadap Gaza, Palestin

jimpc

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengutuk sekeras-keras tindakan biadap rejim zionis membedil rakyat Palestin dalam satu lagi tindakan keganasan yang tiada taranya sejak rejim itu mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka pada tahun 1948 dan menceroboh dan menguasai Baitul Maqdis sejak tahun 1967. Rakyat Gaza yang menderita sejak 18 bulan yang lalu akibat penutupan sempadan oleh Israel sehingga terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan kini menghadapi serangan bertubi-tubi Israel dengan menggunakan jet-jet pejuang F-16 dan helikopter penggempur Apachee ke atas sasaran awam.  

Bilangan orang awam di Gaza yang terbunuh kini telah mencecah hampir 400 orang dan 1700 orang mengalami kecederaan. Bilangan kematian dikalangan rakyat Palestin akan terus meningkat kerana masih ramai mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan. Sehingga saat ini, serangan akan diteruskan oleh Israel tanpa ada tanda-tanda ia akan dihentikan seperti yang dijelaskan mereka kepada Presiden Perancis semalam. Bahkan pasukan darat tentera Israel juga sedang bersedia di perbatasan Gaza dan akan melancarkan serangan besar-besaran pada bila-bila masa. Sudah tentu ini akan meningkatkan lagi kemusnahan dan kematian di kalangan penduduk Gaza.

 
JIM menolak dakwaan Israel bahawa serangan terbaru ini adalah merupakan langkah keselamatan untuk mempertahankan diri. Ia adalah satu lagi pembohongan. Israel telah merancang serangan ini sejak 6 bulan lalu sebaik sahaja tempoh gencatan senjata berakhir 19 Disember yang lalu. Serangan roket oleh pejuang Palestin hanya dijadikan sebagai alasan untuk mewajarkan tindakan Israel. Serangan roket pejuang Palestin yang kononnya menjadi punca tindakan luar batasan negara haram Isreal ini sebenarnya hanyalah serangan balas ke atas beberapa provokasi dari tentera Israel sendiri termasuklah tindakan menceroboh ke adalam wilayah Gaza ketika tempoh gencatan senjata sedang berkuat kuasa.

 
JIM juga ingin membawa perhatian masyarakat antarabangsa hakikat serangan ini dilakukan pada akhir musim persekolahan di Gaza . Ini jelas menunjukkan bahawa regim zionis mempunyai motif malafide untuk memaksimumkan jumlah kematian orang awam terutama wanita dan kanak-kanak yang berada di tempat kediaman masing-masing. Serangan yang ditujukan kepada balai polis yang semestinya berada di dalam pusat bandar jelas bertujuan untuk meningkatkan kematian dan kecederaan di kalangan orang awam. 
 
JIM menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan media barat yang dikuasai oleh zionis dan kenyataan pemimpin-pemimpin US , Israel , Mesir dan Pihak Berkuasa Palestin yang terus mengelak dari membicarakan isu sebenar di belakang penentangan rakyat Gaza dan Palestin serta berat sebelah di dalam membentangkan fakta yang sebenarnya.
 

JIM ingin mengajak rakyat Malaysia untuk kembali kepada fakta-fakta asas dan melihat isu ini dari perspektif yang lebih holistik dari segi sejarah, hak asasi manusia, kemanusiaan, peradaban, hak bersuara, hak wanita, kanak-kanak dan orang tua malahan apa sahaja konvensyen antarabangsa kemanusiaan yang wujud hari ini. Ketika kita mengingatkan tarikh 31 hb Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan Negara ,  pada 31 hb Ogos 1897M merupakan tarikh Persidangan Basel, Switzerland  iaitu permulaan kepada sejarah tercetusnya gerakan untuk menubuhkan sebuah Negara untuk umat Yahudi . Ini diekori dengan Deklarasi Balfor untuk merealisasikan hasrat ini. Pada 1948 negara Israel diistiharkan yang didokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat.

 

jimpc1

Dari saat itulah Israel menjadi sebuah kuasa proksi Amerika Syarikat . Dalam peperangan 1967 antara tentara Arab dan Israel ,  tentera Israel  telah menguasai Baitul Muqaddis yang  telah mengakibatkan  tanah Palestin dirampas dengan zalim dari rakyat Palestin. Ekoran itu proses ”pengYahudian” bumi Palestin dilancarkan oleh Israel.  

Sebagai hasil gerakan Zionis Yahudi ini , sekarang bumi Palestin telah dicerobohi oleh 6 juta orang Yahudi  sementara  5 juta rakyat Palestin sendiri menjadi pelarian di  sekitar negara-negara di Timur Tengah . Sebanyak 80 kem pelarian kini menampung 1 juta pelarian Palestin di Jordan , Lebanon dan Syria.  

Selama lebih 60 tahun , ummat Islam Palestin hidup di medan peperangan . Mereka berada di tengah – tengah kekejaman penjajah durjana Israel laknatullah. Mereka di tindas dan dizalimi tanpa simpati .

 
Orang – orang tua mereka diusir keluar dari tanahair , lelaki mereka dikelar dan ditembak mati , wanita mereka diperkosa dan dibelah perutnya . kanak – kanak mereka diletupkan , rumah kediaman mereka dibakar dan kampung halaman mereka dimusnahkan. Yahudi mencabul Masjidil Aqsa , meletupkan pejuang – pejuang Islam dan pemimpin mereka biarpun mereka sedang mendirikan solat tanpa senjata .

 
Rakyat Palestin yang mahu hidup dengan merdeka, ditangkap dan dikurung puluhan tahun lamanya , dalam bilik kurungan yang sempit dan serba gelap.  
Mereka diperlakukan laksana binatang , bahkan binatang lebih berhati perut berbanding yahudi laknatullah .
 

JIM menyeru rakyat Malaysia untuk merenungkan fakta-fakta ini. Di saat ini lebih sepertiga kanak-kanak Palestin dinafikan hak pendidikan , kurang dari 14% kanak-kanak Palestin yang  dapat menghabiskan persekolahan di sekolah , kurang dari 9% tamat persekolahan diperingkat menengah. Kini 73% rakyat Palestin sedang menganggur.Manakala jumlah rakyat Palestin yang hanya makan satu kali sehari ialah 46%. Seorang doktor terpaksa merawat 1,700 pesakit. 

3 juta rakyat Palestin menjadi banduan di penjara terbesar di dunia apabila mereka di kepung oleh tentera Israel di Palestin dengan tembuk sepanjang 720 km dan 8-12 meter tinggi . Lebih 11,000 rakayat Palestin dipenjarakan di Israel . Ada yang dipenjara sehingga 30 tahun.

Puluhan lokasi pemeriksaan yang didirikan oleh tentera Israel telah meningkatkan penderitaan rakyat Palestin. Ini termasuk  wanita Palestin yang melahirkan anak di stesen pemeriksaan Israel kerana disoalsiat sehingga mereka yang sarat hamil melahirkan anak ditempat pemeriksaan tersebut. Ada juga laporan pesakit dalam ambulan akhirnyanya mati dalam ambulan kerana disekat oleh tentera Israel atas nama pemeriksaan rapi. 

Keadaan hidup rakyat Palestin sangat menyedihkan . Ada yang terpaksa hidup dalam kem pelarian yang tiada bekalan air bersih, ubatan, makanan dan sanitasi yang sempurna. Mereka hidup dalam keadaan yang sangat tertekan dan terus menderita. Sudah puluhan tahun mereka tidak diberi hak untuk pulang ke tanah air Palestin. Sehingga kini 8,250 buah  rumah rakyat Palestin dihancurkan dan mereka dihalau keluar dari tanah air mereka sendiri. Sebanyak 18,031 rumah hancur semasekali di Tebing Barat dan Gaza. Kerajaan, manusia & peradaban apakah ini yang dilaksanakan oleh negara haram Israel?. 

Hakikatnya hari ini, Israel telah menutup sempadan Gaza dan menghalang bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api, bekalan air bersih dan sebarang bentuk bentuan kemanusiaan. Bahkan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sudah sampai ke tahap di mana mereka terpaksa memakan rumput di tepi jalan untuk meneruskan kehidupan. Dengan ini tindak-tanduk rakyat Palestin adalah selari dengan  konvensyen Geneva yang merestui hak mereka untuk mempertahankan diri dari pencerobohan asing dan pendudukan haram oleh mana-mana pihak.

 
Atas rasa keprihatinan dan solidariti yang mendalam bersama rakyat Gaza , JIM mengesyorkan agar umat Islam mengadakan solat hajat perdana dengan tujuan yang khusus bagi membina kesedaran dan keprihatinan yang tinggi di kalangan umat islam agar membela saudara seislam yang teraniaya dan dizalimi di bumi Gaza dan Palestin. Umat islam harus insaf bahawa isu ini juga terkait dengan pembelaan tanah suci Baitul Maqdis di mana terletaknya Masjid al Aqsa yang diberkati .

JIM juga akan mempergiatkan dan memperhebatkan kutipan bantuan Palestin melalui Tabung Bersamamu Palestin dengan pelbagai cara, kempen, gesaan, website, sesi penerangan di sekolah, pejabat, tempat awam, surau, masjid dan lain-lain. JIM mengharapkan  sokongan seluruh rakyat agar menghulurkan bantuan dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 562209608847 atas nama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

 

 

jimpc2
Bergerak ke hadapan, JIM menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk berganding bahu:
 

1. Mengadakan Solat Hajat Perdana dengan tujuan yang khusus bagi membina kesedaran dan keprihatinan yang tinggi di kalangan umat Islam agar membela saudara se Islam yang teraniaya, apatah lagi ia melibatkan tanah suci dan bumi yang diberkati ALlah SWT.  

2. Melancarkan dan memperhebatkan kutipan tabung Palestin dengan pelbagai cara, kempen, gesaan, website, sesi penerangan di sekolah,pejabat, tempat awam, surau dan lain-lain. 

3. Mengeluarkan risalah dan menyebarkan di tempat-tempat awam mengenai isu sebenar di Palestin.  

4. Mengadakan khutbah yang menjurus kepada isu pembelaan rakyat Palestin di Gaza. 

5. Menggesa generasi muda untuk membina kesedaran masyarakat dan generasi muda dengan pelbagai cara yang kreatif termasuklah mengadakan pertandingan sukan seperti futsal, demonstrasi Parkour, walkathon, cyclathon dan seumpamanya. 

6. Menyuarakan pandangan peribadi kita dengan menulis di dalam blog, milis-milis, kepada akhbar alternatif & arusperdana, akhbar antarabangsa, emel kepada Kerajaan-kerajaan yang terlibat seperti USA, Negara Haram Israel, EU, negara-negara 

7. Memanfaatkan pakej Palestin yang ada pada JIM untuk digunakan di mana sahaja 

8. Memakai baju Palestin sebagai menandakan solidariti & sokongan kita kepada mereka.  

9. Bersedia untuk menjadi penceramah Palestin. Hadir dan berikan sokongan kepada program Training of Palestine Speakers (TOPS) yang bakal diadakan dalam masa terdekat. 

10. Menghadiri setiap rapat umum, demonstrasi, majlis kenyataan akhbar dsbnya dengan memakai baju Freedom for Palestine yang boleh diperolehi dari Pegawai Eksekutif JKPA (Md. Nasir Bin Tampol, 014-311 0628).

11. Bersedia untuk menjadi sukarelawan kemanusiaan JIM atau NGO lain ke Timur Tengah.

 
Akhir sekali JIM ingin merakamkan rasa sedih yang amat mendalam di atas penderitaan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza dalam suasana ketika seluruh dunia Islam menyambut Ma’al Hijrah (1430H) dan ketika tahun 2008 akan melabuhkan tabirnya menjelang ketibaan tahun baru 2009. Apakah ia menandakan bahawa tahun baru ini menjanjikan penderitaan berpanjangan kepada rakyat Palestin? Oleh kerana itu JIM menggesa seluruh lapisan masyarakat bangkit untuk menggesa supaya kebiadaban dan keangkuhan rejim zionis yang disokong oleh USA dihentikan dengan segera.
 
 
 

Ir Hj Zairulshahfuddin Zainal Abidin

Naib Presiden (Perhubungan Antarabangsa)

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia

02 Januari 2009 / 5 Muharam 1430H

Posted in Media. 1 Comment »

Ayat al-Quran, doa tangani kerenah anak

Oleh : Pn Rosnah Ahmad 

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati. Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak.

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak.

Di sini, saya ingin berkongsi doa yang biasa amalkan dalam menangani kerenah anak sendiri dan anak jagaan di taska dan tadika. Ia adalah kumpulan doa yang banyak saya petik hasil daripada pembacaan selama ini, terutama daripada Nasiyah Abdul Razak, pengasas Rumah Qiraati Nurhidayah, Taman Melawati Selangor.

Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti ayat 19, surah as-Syura bermaksud: “Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Sebaiknya dibaca selepas Subuh iaitu dibaca pada pada air pada semua botol air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa ayat 200, surah Ali Imran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaran kamu, dan bersedialah serta bertakwalah kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir ‘Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman’ berulang-ulang. Semua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Begitu juga, Surah Toha ayat 1-8, surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam kegiatan lain seperti ketika menemani anak menelaah buku dan membaca al-Quran.

Bagi ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik, elok amalkan ayat 38, Surah Ali-Imran iaitu doa Nabi Zakaria bermaksud: “Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan ketika anak baru lelap kerap saya amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

Selepas solat lima waktu, saya mengamalkan doa daripada ayat 74, Surah al-Furqan bermaksud: “Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa.”

Ayat 40, Surah Ibrahim bermaksud: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doaku.”

Jadikanlah doa cara berkesan membentuk peribadi anak-anak. Doa itu senjata mukmin.

Disediakan oleh Rosnah Ahmad, Pengusaha Tadika dan Taska Islam dan Ahli Jawatankuasa Wanita JIM Pahang.

Mensyukuri nikmat dan sabar ketika ditimpa musibah pengukur darjat keimanan

Jendela Hikmah (Berita Harian)
Oleh Siti Aishah Mahamad

FIRMAN Allah (SWT) yang bermaksud:

“Allah (SWT) maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya.” (Surah al-Mulk, ayat 1-2)

Menyingkap maksud firman Allah (SWT) itu, manusia sentiasa akan diuji dengan kebaikan dan kesulitan. Segala perkara atau peristiwa berlaku dengan izin dan kehendak Allah (SWT). Bagi Allah (SWT) segala-galanya adalah kebaikan untuk hambanya.

Penerimaan manusia boleh jadi berbeza sama ada perkara itu baik atau buruk kecuali orang mukmin yang memiliki keimanan sebenar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Allah (SWT) sungguh kagum kepada orang mukmin, apabila menerima nikmat ia bersyukur dan apabila ditimpa musibah ia bersabar.” (Maksud al-Hadis)

Setiap detik kehidupan kita perlu meyakini bahawa kita berada dalam ujian Allah (SWT) sehingga roh bercerai daripada badan.

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah (SWT) maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta,” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Manusia diberi kemampuan mengamati atau menilai sesuatu perkara dan peristiwa secara zahir melalui deria penglihatan. Manusia juga dapat mengguna akal untuk mentafsir perkara atau peristiwa yang dilihat.

Manusia yang lebih tinggi martabatnya ialah apabila dapat melihat melalui mata hati. Ini adalah penglihatan atau gambaran cahaya iman. Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati.” (Surah al-Haysr, ayat 2)

Sering kali kita terdengar rungutan apabila hari hujan kerana hujan yang turun menyusahkan untuk ke pejabat atau ke mana saja sedangkan bagi tukang kebun atau petani, hujan adalah rahmat Allah (SWT) yang akan menyuburkan pokok serta tanaman mereka.

Begitulah kepelbagaian ragam dan persepsi dalam kehidupan. Segala penentuan Allah (SWT) diterima dengan persepsi berbeza antara satu sama lain. Perbezaan sudut pandang ini bergantung kepada beberapa perkara seperti ilmu, keimanan, amalan dan ketakwaan seseorang.

Orang beriman sentiasa reda dan menerima segala ketentuan dengan hati tenang kerana mereka berfikir secara positif, mencari hikmah di sebalik setiap peristiwa.

Setiap insan sentiasa mengharapkan kedamaian dan ketenangan hidup, bahkan manusia menginginkan kesenangan itu berpanjangan. Realiti kehidupan tidak selalu begitu kerana langit tidak selalunya cerah.

Panduan berikut boleh dijadikan pedoman untuk mendidik diri menerima sesuatu peristiwa baik atau buruk dengan penuh keredaan. Dengannya kita akan berasa tenang dalam menerima sesuatu dengan rela hati.

Bersyukur kepada Allah (SWT) dan membilang nikmatnya

Kita beriman bahawa Allah (SWT) tetap memberi nikmat di dunia kepada semua hamba-Nya. Apabila kita mendapat nikmatnya kita bersyukur dan mengiktiraf nikmat itu supaya tidak lupa jasa Allah (SWT).

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Allah (SWT) sudah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kalian baik yang zahir mahupun yang batin.” – (Surah Luqman, ayat 20)

Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Dan jika kalian menghitung nikmat Allah (SWT) nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya.” (Surah Ibrahim, ayat 34)

Nabi Sulaiman yang dikurniakan kerajaan dan kekayaan berkata:

“Ini termasuk dalam kurnia Tuhanmu untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur nikmat.” (Surah an-Namlu, ayat 20)

Syukur bukan setakat mengucapkannya tetapi kita perlu zahirkan kelakuan orang yang bersyukur dalam bentuk perbuatan. Contohnya, apabila seseorang itu mendapat keuntungan daripada perniagaan diusahakannya, dia akan dibelanjakan ke jalan halal dengan ikhlas.

Musibah menghapuskan dosa

Kita menerima musibah dengan positif untuk menyedarkan kita supaya menilai kembali tingkah laku. Sebagai manusia, kita tidak sunyi daripada melakukan dosa. Musibah dapat melenyapkan dosa yang dilakukan .

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang mukmin itu ditimpa kecemasan, kegelisahan, rasa sakit dan keletihan hingga tertusuk duri melainkan dengan semua itu Allah (SWT) akan menghapuskan dosanya.” (Maksud al-Hadis)

Bersabar tanda kemenangan

Allah (SWT) mendidik kita supaya menerima sesuatu dengan reda dan sabar kerana Allah (SWT) bersama dengan orang yang sabar. Orang yang bersabar akan mendapat kemenangan di dunia dan syurga di akhirat.

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat.” (Surah al-Hadid, ayat 23)

Berdoa dan memohon pertolongan hanya kepada Allah (SWT)

Doa adalah senjata orang mukmin. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh, yakin dan kenalilah Allah (SWT) ketika senang nescaya Allah (SWT) akan mengenali kita ketika susah. Berdoa dengan khusyuk dan jadikan berdoa para nabi sebagai panduan.

Bayangkan bagaimana pasrah dan khusyuk nabi berdoa dalam keadaan genting. Kita juga tahu Allah (SWT) memakbulkan doa mereka. Nabi Ibrahim berdoa memohon pertolongan Allah (SWT) ketika dibakar dalam unggun api yang marak menyala, Nabi Muhammad ketika perang Badar dan Nabi Musa yang cemas ketika di kepung Firaun di Laut Merah dan saat kegelapan Nabi Yunus dalam perut ikan.

Membaca al-Quran

Al-Quran adalah kitab rujukan utama kepada setiap mukmin yang cemerlang. Kitab ini perlu dibaca dan fahami maksudnya setiap hari dengan tujuan melembutkan hati serta mendidik jiwa supaya istiqamah dalam amalan yang baik.

Allah (SWT) sentiasa mengingatkan supaya mengambil pendekatan sederhana kerana keluh kesah akan menambah lagi musibah. Apabila menerima sesuatu musibah, kita zahirkan rasa syukur dengan membandingkan musibah lebih besar atau membandingkan musibah dihadapi orang lain.

Mengambil pelajaran dan melihat sesuatu hikmah dalam setiap perkara akan melahirkan insan yang celik perasaan serta mampu mengharungi hidup yang penuh pancaroba.

Penulis ialah Guru Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Isap Kuantan Pahang dan Ketua Wanita JIM Pahang.

Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak

Oleh Rosnah Ahmad

SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan.

Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.

 

Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan. Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang diungkap dalamnya. Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia.

Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhakamungkin biasa bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.

Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhakaadalah dengan bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka.

Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain pada fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang.

Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita.

 

 

Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya.

Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud: Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.(Surah al-Araf, ayat 176)

Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.

Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.

Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali watak Abuyang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru.

Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus.

Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik perhatian anak-anak.

Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.

PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak.