Katibah : Da’wah Fardhiah

Kuantan, 26 Mac 2010 – Jawatankuasa Tarbiyyah Wanita JIM Negeri di bawah Ustazah Khadijah Abdullah telah mengadakan katibah untuk akhawat Wanita JIM bertempat di IM5 baru-baru ini. Tajuk pengisian utama yang dibentang adalah ‘Da’wah Fardhiah’ oleh Pak Ngah Suhaimi. 

Da’wah fardhiah adalah satu kewajipan kepada da’i ilalLah dalam melakukan amal maaruf nahi mungkar.  Dengan da’wah fardhiah, hubungan baik dibina agar dapat meruntuhkan kejahilan dan membina unsur-unsur kebaikan secara berperingkat dan berterusan.  Kejayaan dakwah bergantung kepada keberkesanan da’wah fardhiah dan keberkesanannya banyak bergantung kepada niat ikhlas kerana Allah dan kesungguhan para da’ie.

Peserta khusyuk mendengar kuliah dari Pak Ngah

Setelah solat subuh berjamaah, para peserta dihidangkan dengan slot kuliah subuh, Istiqamah oleh Timbalan Ketua Wanita JIM daerah Kuantan, Pn Nor Akhmar Mohamad.  Antara pesanan beliau untuk beristiqamah adalah selalu merujuk kepada ayat-ayat suci al-Quran untuk mengingatkan tentang tuntutan da’wah, berdamping dengan orang yang ikhlas dan beramal serta bersabar dalam menghadapi ujian di jalan da’wah.

Antara peserta yang hadir

Advertisements

Menangani Hawa Nafsu

Fitrahnya, manusia diciptakan dengan dikurniakan akal dan nafsu.  Mengikut hawa nafsu boleh diertikan sebagai mengikut sesuatu yang disenangi jiwa tanpa pertimbangan akal yang sihat, mengendahkan hukum syariat dan tidak mempertimbangkan akibat yang muncul.  Hawa nafsu mendorong manusia larut dalam kemewahan, terpedaya dalam kerehatan dan hiburan, mengejar kuasa, pengaruh dan kedudukan, wanita dan kecantikan, emas perhiasan dan pelbagai kilauan dunia yang sementara. 

Al-Quran menegah kita mengikut hawa nafsu kerana ia menyimpang dari kebenaran (4:135) bahkan menyesatkan manusia dari jalan Allah (38:26) ; (28:50).  Rasulullah s.a.w juga mengingatkan kita bahawa orang yang cerdas ialah mereka yang mengawal diri dari mengikut hawa nafsu manakala mereka yang lemah adalah mereka yang menuruti hawa nafsu.  Dalam satu hadith riwayat Abu Daud, Rasulullah s.a.w berpesan bahawa akan muncul dari umat baginda, orang-orang yang mengabdikan diri mengikut hawa nafsu sebagaimana anjing mengabdikan diri kepada tuannya.

FAKTOR mendorong manusia mengikut hawa nafsu termasuklah cara pendidikan dari kecil yang terlalu dimanjakan.  Ibu bapa yang mudah memenuhi kehendak anak-anak gagal mengajar anak untuk mengawal kemahuannya dan membiasakan diri untuk bersabar.  Bergaul dengan mereka yang bergelumang menuruti hawa nafsu juga sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran  dan kecenderungan seseorang.  Manusia mengikut hawa nafsu semata-mata akibat kurang mengenali Allah dan hari Akhirat.  Kita juga boleh lalai jika kita mula mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat, yakni kurang membuat kebajikan serta tidak endah akan realiti masyarakat yang memerlukan.  Manusia yang terlalu cintakan dunia dan melupai akhirat akan tewas dalam pertimbangan antara keperluan dan kehendak.   Tidak mengetahui akan akibat buruk hawa nafsu juga penyebab manusia jatuh ke dalam lubuk kejahatan.

Antara AKIBAT buruk mengikut hawa nafsu adalah kurangnya ketaatan kepada Allah samada dalam melaksanakan amal mahupun menjauhi dari dosa dan perbuatan terlarang.  Hati menjadi keras atau mati, lalu gagal membezakan kebenaran dari kebatilan.  Hati yang keras juga mudah meremehkan dosa dan tidak segan silu kepada Allah dalam kemaksiatan.  Mereka juga boleh menyesatkan orang lain dalam kehanyutan nafsunya.  Mereka yang mengikut hawa nafsu mudah melakukan bid’ah, tidak mendapat hidayah dan bantuan Allah dalam kepayahan hidupnya.

PENYEMBUH bagi penyakit mengikut hawa nafsu ini tidak lain adalah mengenali Allah dan hakikat diri.  Di samping itu, kita hendaklah sentiasa mengingati kesan buruk menuruti hawa nafsu, tidak rapat dengan mereka yang mengikuti hawa nafsu dalam tindak-tanduknya, bingkas menjalankan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat terutamanya melalui kerja amal da’wah serta membaca dan mencontohi kisah-kisah para mujahid dalam sejarah Islam. Haruslah juga kita sentiasa berwaspada dengan kemanisan dunia dan bersungguh-sungguh memohon pertolongan Allah agar diberi hidayah dan kekuatan dalam mentaatiNya.

Ingatlah bahawa “Ketenangan hanya dengan mengikut syariat, bukan mengikut hawa nafsu”.

(Ringkasan buku “Menggapai Ridha Ilahi” tulisan Sayyid Nuh)

Perasan Bagus?

Pernah tak Anda dengar frasa perasan bagus? Bagi saya, itu boleh disamakan dengan temberang, menunjuk-nunjuk, riak, membesarkan diri atau ‘cocky’ dalam Inggeris Amerika.

Perasan bagus adalah satu sikap di mana dia berasa dia amat bagus dan terlalu menunjukkan yang dia amat bagus. Ada ada orang yang merasa dia sangat bagus dalam sesuatu, tapi lebih suka diam-diam.

Sikap merasa diri amat bagus dan perasan bagus adalah penghalang terbesar kepada kecemerlangan. Anda akan terhalang dari menjadi cukup kreatif, kemudian ia akan menjejaskan perhubungan Anda dengan orang sekeliling, kawan-kawan Anda, ahli keluarga mahupun dengan kekasih Anda.

Sikap perasan bagus dikategorikan sebagai salah satu sikap negatif, kerana ia menjadikan Anda cenderung untuk memandang rendah pada orang lain. Kesannya dalam jangka masa panjang, sikap perasan bagus akan membuat Anda semakin tidak cemerlang, prestasi Anda terjejas dan emosi Anda jadi semakin rapuh, semakin down, down lalu terus down (er, bukan sindrom down!). usaha Anda menuju kejayaan semakin kurang berhasil walaupun Anda sudah bekerja keras, lebih ‘keras’ dari yang sebelumnya.

Sikap perasan bagus tak boleh disimpan lama-lama. Sikap itu kena diubah, ditinggalkan secara bertahap. Buang sikap tu jauh-jauh. Kita tak boleh buang sekaligus, tapi kita boleh melatih diri untuk membuangnya langkah demi langkah.
Untuk nak membuang sikap perasan bagus, latih diri Anda supaya suka belajar sepanjang masa. Pelajari sesuatu dari orang yang Anda lihat lebih mahir dari Anda dan jangan pernah merasa diri Anda sudah cukup bagus.

Jangan terlalu cepat berpuas hati tapi teruskan belajar, belajar belajar benda baru dari apa saja sumber. Lama kelamaan Anda akan semakin bagus dalam apa yang Anda usahakan tanpa Anda menyedarinya. Anda akan semakin bagus, tahap kebagusan Anda akan terus meninggi, meninggi lalu semakin meninggi.

Jika Anda student, Anda akan jadi student yang makin bagus. Jika Anda pekerja, Anda akan jadi pekerja yang semakin bagus. Jika Anda usahawan, Anda akan jadi usahwan yang semakin bagus, lebih bagus dari usahawan-usahawan seangkatan Anda!

Mulai hari ini, buang sikap perasan bagus. Puji dan kagumi orang yang kerjanya bagus, perangainya bagus dan attitudenya bagus. Kemudian, cabar diri Anda untuk cuba atasi tahap kebagusan yang dipamerkan olehnya!

(Artikel tulisan Mohd Hafiz (Bai) , S/U Kerja, JK Pemb. Remaja & Belia, JIM)

Menjadi Orang yang Berani

Manusia diberi pelbagai kelebihan dari segi akal dan tubuh badan yang indah dan sempurna agar menjadi khalifah Allah yang mampu menjalankan tanggungjawabnya di muka bumi ini. Namun begitu, akal yang bijak dan tubuh badan yang kuat semata-mata tidak berguna tanpa keberanian dan kecekalan menghadapi cabaran hidup.

Mampukah agama ini ditegakkan tanpa manusia-manusia ikhlas yang berani berjuang? Untuk melahirkan pahlawan, satu dari bentuk pendidikan yg wajib dilalui ialah pendidikan menjadi ‘pemberani’.

Kalau kita lihat dari sirah ar-Rasul s.a.w, para sahabat dibentuk hasil didikan madrasah Rasulullah saw. Mereka semua adalah golongan pemberani, baik lelaki atau perempuan.

Apakah tidak pemberani namanya bila seorang pemuda mengacukan pedangnya pada Umar, pada hari pengangkatan beliau sebagai khalifah?
Apakah bukan pemberani namanya apabila seorang muslimah bangkit menyanggah Khalifah Umar dalam soal mahar? Mereka mampu lakukan ini kerana mereka telah memerdekakan jiwa mereka sepenuhnya.

Bagaimana pula tindakbalas Khalifah Umar r.a? Apakah dia kemudiannya mencari pemuda dan wanita itu untuk diberi ‘pengajaran’? Tidak! Umar sebaliknya bersyukur kerana punya pengikut yg berani memberi teguran.
Bagaimana pula keadaan masyarakat Islam ketika ini? Adakah ummah sedia mengkritik kepimpinan yang silap? Dan sanggupkah pula kepimpinan menerima teguran ini dengan hati terbuka dan ikhlas? Bila yang dipimpin bersikap tidak kisah, pengecut atau kaki mengampu, ini adalah pangkal kpd keruntuhan.
Kepimpinan yang sombong, degil dan mengikut hawa nafsu juga akan membawa bencana kepada kumpulan yang dipimpinnya serta akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Kata Waraqah, “Alangkah baiknya jika aku masih dahan muda.” Usianya sudah terlalu tua, dia berharap dia masih muda dan kuat untuk membantu dan membela Rasulullah SAW.
Kemudian dia berkata, “Kalau Allah memanjangkan usiaku ketika engkau dikeluarkan oleh kaummu, maka aku akan membelamu sedaya tenagaku.”
Ini bermakna dalam usia yang telah lanjutpun, dia tidak akan memberi alasan untuk tidak berjuang membela kebenaran.
Nabi berkata, “Apakah aku akan dikeluarkan oleh kaumku?”
“Ya,” jawab Naufal.
Sesiapapun yang membawa mesej kebenaran akan ‘dikeluarkan’ oleh kaumnya.

Mari kita merdekakan jiwa kita agar menjadi orang yg pemberani. Berani mengkritik dan berjiwa besar bila dikritik. Semuga Allah pelihara kita semua.

(Artikel disesuaikan dari tulisan Dr Hafidzi Mohd Noor)

Iltizam

Seseorang Muslim yang ingin berjaya haruslah mempunyai kekuatan Iltizam.  Apa itu iltizam? Antara makna lain bagi iltizam ialah berpegang teguh terhadap prinsip yang dipegang, bersungguh-sungguh atau perkataan inggeris yang telah dimelayukan iaitu komited.  Banyak pepatah melayu tentang iltizam, guna menyemarakkan sifat iltizam ini.  Antaranya :-

“Genggam bara api, biar sampai jadi arang”
“Biar terbakar di tangan, jangan terbakar di hati”
Biar mati bergalang tanah, tidak hidup bercermin bangkai”

Penghuraian iltizam dalam kehidupan manusia mu’min yang ingin menjadikan hidupnya bermanfaat kepada diri dan juga orang lain merangkumi sekurang-kurangnya 3 aspek :-

1.  Beriltizam dengan Ibadah

Syarat orang Islam yang taat hendaklah dia beriltizam dengan ibadah yang sudah menjadi wajib baginya iaitu solat, puasa dan juga rukun yang lainnya.  Bukan setakat itu, malah ini hendaklah dia dilakukan dengan sebaik-baiknya, sebagai contoh – solatlah di awal waktu dan sebaik-baiknya secara berjamaah. 

Bagi mereka yang telah menggabungkan diri dengan harakah Islamiah, maka beriltizamlah dengan tuntutan ibadah yang ditetapkan di dalam usrah seperti bacaan al-Quran, qiamullail dan puasa-puasa sunat…mengikut marhalah dan kemampuan.  Jika kita cuai dalam hal ini, maka sampai bila pun kita akan berada di takuk lama, atau ditakuti terjerumus  menjadi manusia yang lalai…Ternyata, seminima iltizam kita adalah kewajipan-kewajipan khusus, dan semaksimanya tidak terbatas dan nikmatnya adalah kehidupan yang terpuji, meraih redha Ilahi!

2. Beriltizam dengan Amanah

Amanah pertama yang perlu dijaga ialah amanah terhadap diri. Amanah untuk menjaga diri dan keluarga kita agar tidak terjatuh ke dalam api neraka akibat kelalaian atau kejahilan.  Kita beramanah untuk mengabdikan hidup kita untuk Allah s.w.t.  Kita beramanah untuk memastikan setiap apa yang kita lakukan adalah bertepatan dengan syarak. Apa yang kita makan, apa yang kita katakan, apa yang kita tengok, ke mana kita pergi, dan lain-lain lagi…jauhilah perkara-perkara haram yang mengundang kemurkaan Allah.  Tiada siapa yang kita boleh harapkan untuk melindungi diri kita dari api neraka selain dari diri kita sendiri…!

Kita juga dituntut beriltizam dengan amanah sesama manusia.  Tuntutan berlaku adil dalam layanan dan urusan kehidupan dan tidak ‘memilih bulu’ apalagi khianat.  Banyak contoh perlakuan manusia yang amanah dan tidak amanah.  Contoh mudah amanah yang kadang kala sukar juga dilakukan ialah memulangkan barangan yang dipinjam seperti buku, duit dan sebagainya.  Malah, membayar semula pinjaman / hutang kepada institusi kewangan malah kepada saudara mara juga termasuk dalam bersikap amanah. 

Antara contoh keji manusia yang mengkhianati amanah adalah penyalahgunaan derma masyarakat kepada mangsa-mangsa yang mengalami musibah.  Tanpa rasa amanah dan takut kepada Allah yang Maha Melihat, manusia menjadi tamak hingga sanggup menggendutkan perut sendiri dengan wang yang diamanahkan, di kala yang lebih memerlukan dibiar begitu sahaja atau diberi sedikit sahaja dari jumlah derma.  Manusia yang tidak amanah mengambil keuntungan atas penderitaan orang lain.  Akibat dari sifat tidak amanah termasuklah penganiayaan, pembaziran, berleluasanya rasuah dan penindasan yang ditegah Islam.

3. Beriltizam dengan Disiplin

Dalam kita berjamaah / berorganisasi, ketaatan adalah dituntut selagi mana arahan tidak bercanggah dengan Allah dan RasulNya.  Jika tiada ketaatan, tiada gunanya syura, lemahlah kepimpinan dan hilanglah perancangan yang cantik di kertas tetapi hasilnya tiada.  Zero.  Rapatkanlah saf,  buangkan prasangka dan melangkah dengan penuh yakin dan  teratur.  Dalam kerja da’wah, kita perlu lebih serius.  Janganlah kita bersikap sambil lewa samada dalam hal aktivisme mahupun soal tarbiyyah.  Membina masyarakat menghayati Islam menuntut gerak kerja yang kemas serta pengorbanan yang besar dari pendukung-pendukung risalahNya.

“Business lady”

 

Aku Mengangkat telefon yang berdering   ”Assalamu’alaikum ,hai kalau tidak sabar dua tiga kali menelefon , memang tidak dapat dengar suara merdu you ni . ,lebih sibuk daripada business women lagi ”.Itulah suara kawan karib masa di sekolah rendah dan menengah dulu , dan hanya bulan lalu kami dipertemukan semula dalam satu kursus di Kuala Lumpur. Kawan saya tu memang banyak cerita dan hampir setiap minggu ada sahaja  cerita baru tentang kawan lama kami .yang hampir aku tidak  mampu melayannya. Aku tersenyum sendirian apabila beliau menyatakan  aku kelihatan  sibuk macam ”business lady ”.

 

Apabila aku merrenung  catatan diari harianku memang padat macam pelajar sekolah asrama penuh .Tidur dan solat menjadi masa rehatku. ada betul juga kata-kata kawan ku itu,ya aku seorang ”business lady”  Bahan yang diniagakan pun sungguh istimewa dan tidak pernah habis .Tentu kawan-kawan boleh teka apakah produk yang aku maksudkan . Produk ini mesti diedar secara berkumpulan. Boleh juga secara sendirian tetapi  ia tidak akan bertahan lama . .Macam solat fardhu juga jika dilaksanakan secara berjemaah untngnya lebih

 

Produk  yang aku dan kawan-kawan aku bawa   memiliki ciri –ciri  seperti berikut

 

1.                  Universal :Produk ini boleh dimiliki oleh sesiapa didunia ini tidak kira kaum ,bangsa atau keturunan .

2.                  Alamiayah –Produk ini  boleh diguna pakai sepanjang masa dan dimana sahaja  diseluruh alam buana ini

3.                  Rabbani –Produk ini ádala ciptaan Tuhan yang maha agung,maha    pencipta dan maha berkuasa atas semua makluk. yang mnerima atau tidak menerima produk ini.

4.                  Syumul –Produk ini meliputi semua perkara dan diperlukan dalam semua ativiti kehidupan seharian

5.                  Islahiah – Produk ini akan memberi kesan kebaikan dan kemajuan kepada pengguna  yang sentiasa mematuhi penggunaan produk ini .

 

Itulah produk yang  istimewa berjenama  ISLAM  .Produk yang dimiliki oleh semua yang bergelar muslim . Apakah jenama indah ini masih teguh diguna pakai oleh semua muslim diseluruh dunia ?atau jenama ini  tinggal jenama sahaja ?Apakah realiti hari ini memaparkan pemilik produk ini dengan sindrom negatif seperti kegaganasan,kemunduran ,kemiskinan ,kebejatan social dan sebagainya ¿ayuh pedulikan semua itu ,Kita mesti  yakinl jenama ini akan kembali gemilang dipelihara oleh   Pencipta produk ini Allah azzawajalla .Yakinlah masa depan produk ini akan kembali menyerlah dan menguasai alam ini. Mari terus kita bekerja melariskan  produk ini tanpa henti hingga  nafas dijemput kepangkuan Ilahi. Wallahu alam.

 

Menuntut Ilmu Adalah Wajib

Hadith : “Menuntut ilmu adalah wajib (fardhu) ke atas setiap Muslim” – Ibnu Majah

Ilmu merupakan cahaya yang menerangi jalan yang gelap. Ia juga seperti tingkap besar yang membuka mata insan yang walaupun ‘terkurung’ tetapi akalnya luas melepasi sempadan dunianya.  Ilmu adalah kuasa (empowerment) yang mampu menjadikan seseorang itu berani, mampu mencari rezeki, yakin, membantu diri dan orang lain dan pelbagai lagi kuasa yang dianugerahkan kepada yang punya ilmu itu.

Kalimah ” Fardhu” – membawa erti :-

1.  kewajiban yang mesti ditunaikan seperti amalan-amalan fardhu yang lain
2.  pengibadatan *kerana Allah* dan memerlukan sifat amanah, bersih dan ikhlas (jauh dari unsur penipuan, inginkan pujian, plagiat dsb)
3. mendekatkan diri kepada Allah – ilmu yang menambah rasa iman dan cinta kepada Allah adalah yang paling bermanfaat.

halaqah1

Apakah “ruh” atau sifat penyebaran ilmu yang dituntut?

1. Benar
2. Ikhlas – yang belajar dan yang mengajar hendaklah ikhlas
3. Mendekatkan diri kepada Allah
4. bermanfaat kepada manusia dan tidak digunakan untuk kejahatan dan penyeksaan (sihir, tilik nasib, ilmu kewangan digunakan untuk memanipulasi transaksi, peras ugut dsb)

Akhir kata, hayatilah sabda Rasulullah s.a.w :-

“Pelajarilah ilmu, sesungguhnya mempelajarinya kerana Allah membawa kepada takutkanNya,
dan menuntutnya adalah ibadat,
membincangkannya adalah tasbih,
mengkajinya adalah jihad,
dan mengajarnya kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah,
dan memberikan perbelanjaan kepada ahlinya adalah qurbah (mendekatkan diri kepada Allah)…”

Wallahu’alam.

(Rujukan : bahagian 1, Bab ke-2, Hadis-hadis Pilihan – Muhamad Qutb; Pustaka Salam 2001.  Ringkasan disediakan oleh Pn Khatijah Hassan)
(gambar hiasan semata-mata. Sumber : http://penuliscyber.blogspot.com/2008_04_01_archive.html)