Katibah : Da’wah Fardhiah

Kuantan, 26 Mac 2010 – Jawatankuasa Tarbiyyah Wanita JIM Negeri di bawah Ustazah Khadijah Abdullah telah mengadakan katibah untuk akhawat Wanita JIM bertempat di IM5 baru-baru ini. Tajuk pengisian utama yang dibentang adalah ‘Da’wah Fardhiah’ oleh Pak Ngah Suhaimi. 

Da’wah fardhiah adalah satu kewajipan kepada da’i ilalLah dalam melakukan amal maaruf nahi mungkar.  Dengan da’wah fardhiah, hubungan baik dibina agar dapat meruntuhkan kejahilan dan membina unsur-unsur kebaikan secara berperingkat dan berterusan.  Kejayaan dakwah bergantung kepada keberkesanan da’wah fardhiah dan keberkesanannya banyak bergantung kepada niat ikhlas kerana Allah dan kesungguhan para da’ie.

Peserta khusyuk mendengar kuliah dari Pak Ngah

Setelah solat subuh berjamaah, para peserta dihidangkan dengan slot kuliah subuh, Istiqamah oleh Timbalan Ketua Wanita JIM daerah Kuantan, Pn Nor Akhmar Mohamad.  Antara pesanan beliau untuk beristiqamah adalah selalu merujuk kepada ayat-ayat suci al-Quran untuk mengingatkan tentang tuntutan da’wah, berdamping dengan orang yang ikhlas dan beramal serta bersabar dalam menghadapi ujian di jalan da’wah.

Antara peserta yang hadir

Bowling Cuti Sekolah

Kuantan, 18 Mac – Premium Lanes dikunjungi lagi oleh keluarga Wanita JIM bersama-sama anak-anak remaja dan Tunas Islah sempena minggu cuti persekolahan.  Kali ini, program bowling mendapat sambutan belia di mana 2 pasukan campuran (belia+mak cik2) bertanding bagi merebut kedudukan juara! 🙂

Bagi kategori remaja, terdapat dua pasukan yang memasuki permainan dan kategori tunas islah mempunyai 1 team sahaja.  Mungkin ramai ahli keluarga telah membuat perancangan masing-masing. Insya Allah, kita mengharapkan persediaan lebih awal bagi menarik lebih ramai penyertaan dari semua peringkat umur.

Antara ahli dan rakan JIM yang hadir

Salam perkenalan tanda ukhuwwah untuk rakan baru kita, Rabiatul Adawiyah dan juga Adnin. 🙂  Lepas ni, boleh kita bermain se-round lagi! 

Tahniah kepada Che Na dan team Tunas Islah yang menganjurkan aktiviti yang mengumpulkan bukan saja ahli golongan kanak-kanak, malah yang senior pun boleh join juga…semoga kemesraan yang terjalin mempereratkan ukhuwwah demi kelangsungan kerja-kerja da’wah kita yang masih panjang! Ameen.

Posted in 1. Leave a Comment »

Rundingan Umum Laporan SUHAKAM 2007 & 2008

Kuantan, 14 Mac – JIM Pahang telah dijemput ke Majlis Rundingan Umum Kebangsaan mengenai Laporan Tahunan SUHAKAM pada 14 Mac yang lepas di Hotel Grand Continental, Kuantan.  Majlis ini yang dianjurkan oleh Pendidikan dan Penyelidikan Untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia) telah dihadiri oleh Presidennya, Datuk Marimuthu Nadison.  JIM diwakili oleh En Mohd Azam Salleh, Setiausaha JIM Negeri Pahang dan Pn Nur Hafizah Hassan, Ketua Wanita JIM Negeri Pahang.

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam bagi mendapat maklumbalas ahli panel dan para peserta mengenai laporan-laporan Suhakam yang telah dikeluarkan bagi tahun 2007 dan 2008 tersebut.

Sidang pembentangan kertas kerja dipengerusikan oleh Pn Nora Murat, dari Amnesty International Malaysia.  Antara ahli panel yang membentangkan kertas kerja pada kali ini ialah Pn Haslinah Yaacob (AWAM), Dr Shamrahayu Ab Aziz (UIA), En Jerald Joseph (KOMAS), En Andrew Khoo (Bar Council) dan En Faisal Mustaffa (REFSA).

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa masyarakat Malaysia perlu mempunyai kefahaman mengenai hak mereka sebagai rakyat Malaysia; agar kita mampu untuk bangun mempertahankannya.  Kerajaan yang memimpin negara pula seharusnya berusaha bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemerintah dan bersedia pula menerima teguran agar mereka dapat bekerja dengan lebih baik untuk rakyat.

Kemajuan sebenar bukan sahaja dinilai dari segi material dan pembangunan infrastruktur, malah kemajuan perlu dari segi perlaksanaan hak-hak asasi rakyat, ketinggian nilai dan etika hidup, keterbukaan rakyat dan pemimpin dalam menangani isu-isu semasa, keadilan dan ketelusan dalam proses pemilihan kerajaan dan kehakiman, kesensitifan terhadap isu-isu golongan minoriti, serta kebersamaan dalam memperjuangkan isu-isu moral yang semakin meruncing.

Bagi isu wanita, beberapa petunjuk statistik telah dibentangkan untuk membandingkan kemajuan wanita di beberapa negara termasuklah kadar wanita yang bekerja di luar rumah.  Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita memerlukan kayu ukur dari kaca mata Islam.  Jika jumlah wanita yang tidak keluar bekerja dijadikan ukuran, ia tidak seharusnya melambangkan wanita itu mundur, kerana ia melibatkan faktor pilihan individu.  Berapa ramai wanita di negara maju yang memilih untuk tidak bekerja dan gembira menjadi ‘Stay at Home Mothers’ (SAHM).  Malah, kurangnya wanita yang perlu bekerja, mungkin melambangkan keadaan ekonomi yang berjaya di mana pendapatan suami bekerja sudah cukup untuk menampung kehidupan keluarga.  Mungkin kerana kos hidup negara kita sudah semakin tinggi, atau gaji dibayar terlalu rendah, maka wanita kita sebenarnya terpaksa keluar bekerja.

Selesai forum, kami menyedari bahawa dengan membelakangkan perbezaan yang sedikit antara kita, sebenarnya kita mampu menyelesaikan masalah yang lebih besar dan serius yang sedikit demi sedikit sedang menghakis sendi dan kekuatan negara tercinta kita ini.  Masalah seperti ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi perlu diambil berat oleh semua pihak tidak kira bangsa dan agama.

Kita juga perlu lebih banyak menambah ilmu supaya perbincangan yang kita lakukan lebih bersifat fakta dari emosi.  Oleh kerana forum tersebut julung-julung kali diadakan di Pantai Timur, JIM Pahang mengalu-alukan sebarang perbincangan seperti ini terus diadakan agar dapat sama-sama kita mencari penyelesaian dan meningkatkan kesedaran tentang hak-hak asasi masyarakat di Pahang khususnya.  Mana-mana pemerintah mungkin tidak mempunyai kepentingan untuk meninggikan kesedaran hak-hak asasi di kalangan rakyatnya, maka NGO, para akademik, institusi-institusi serta individu-individu yang berupaya mesti berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab ini.